Tuesday, November 8, 2016

Ekspedisi Mendaki Bukit Sapu Tangan


Baru-baru ini, Biro Alam Bina Lestari Cawangan Puspanita KBS telah berjaya menganjurkan Ekspedisi mendaki Bukit Sapu Tangan di Taman Botani Negara Shah Alam, Selangor (TBNSA). Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang merupakan wakil dari Biro Alam Bina Lestari telah menganjurkan program ini pada 5 November 2016 yang lepas.

Program yang dianjurkan ini telah disertai oleh 45 orang peserta dari ahli Puspanita KBS dan agensi-agensi di bawah naugannya. Program ini turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran dan sokongan padu dari Pengerusi Puspanita KBS, Datin Dr Asmah Samat dan Pengerusi Puspanita PSM, Puan Fariza Rozanim dan Dato' Zaiton dari Pejabat Pesuruhjaya Sukan yang turut serta mendaki dan berjalan hampir 3 km dari pintu masuk TBNSA.

Tujuan program ini dianjurkan adalah untuk mengeratkan silaturrahim dan memupuk kerjasama di antara ahli-ahli puspanita. Selain itu juga, program ini juga dapat memupuk semangat cintakan alam sekitar sekaligus juga menyambut seruan kerajaan untuk sentiasa fit,sihat dan cergas.

Taman Botani Negara Shah Alam mula dibangunkan pada 24 April 1986 dan pada asalnya dikenali sebagai Taman Pertanian Bukit Cerakah. Kini TBNSA menjadi salah satu dari tempat tarikan pelancong di Malaysia.

Monday, September 26, 2016

Lawatan Puspanita PSM ke Negeri Perlis Indera Kayangan


Puspanita PSM telah menganjurkan lawatan ke Negeri Perlis Indera Kayangan pada 23 hingga 25 September 2016 yang lepas. Aktiviti ini adalah merupakan salah satu aktiviti yang dicadangkan untuk program tahun ini bagi ahli-ahli Puspanita PSM. Lawatan ini telah disertai oleh kira-kira 40 orang termasuk warga kerja PSM. 

Program utama lawatan ini adalah kunjungan peserta ke Rumah Seri Kenangan Kangar, Perlis. Lawatan ini bertujuan untuk mengenali lebih dekat warga Rumah Seri Kenangan dan menjalinkan ukhuwah sesama kita. Tidak lupa juga, Puspanita PSM dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan PSM telah memberi sedikit sumbangan sebagai buah tangan untuk warga emas di sana.  

Antara lokasi menarik yang dilawati sepanjang 3 hari 2 malam di sana adalah kunjungan ke pusat membeli-belah di Padang Besar, menikmati keindahan Empangan Timah Tasoh dan Masjid Terapung Al-Husin, menerokai Gua Kelam, mengunjungi Muzium Kota Kayang dan Muzium Padi  serta Ukir Mall & Pekan Rabu di Kedah.

Wednesday, May 18, 2016

Bengkel Mini Indoor Terrarium


Baru-baru ini, pada 18 Mei 2016 bertempat di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil berlangsungnya aktiviti Bengkel Mini Indoor Terrarium. Aktiviti yang julung kali diadakan ini merupakan aktiviti anjuran Biro Alam Bina Lestari Cawangan Puspanita KBS. Aktiviti ini telah disertai oleh 30 orang peserta dari ahli Puspanita KBS dan agensi-agensi dibawahnya. Melalui bengkel ini, peserta telah didedahkan dengan cara-cara membuat hiasan melalui balang kaca yang diisi dengan batu-batu kecil dan besar, replika dan tumbuhan-tumbuhan hidup.  

Terrarium dikatakan berasal daripada gabungan dua perkataan iaitu tera dan rium. 'Tera' bermaksud tumbuhan manakala 'rium' didefinisikan sebagai bekas kaca.Ia adalah bahan yang diperbuat daripada kaca atau plastik lutsinar yang berisi tanaman hidup, digunakan untuk pelbagai tujuan contohnya sebagai bahan ujikaji, bercucuk tanam ataupun sebagai dekorasi bagi hiasan dalaman dan landskap di luar rumah. Terrarium disifatkan biosfera buatan yang paling natural kerana fungsi biologi yang terjadi dalam terarrium seakan-akan yang terjadi di alam ini.

Terrarium kini telah menjadi trend terbaru bagi pengemar hiasan sebagai dekorasi dalam atau luaran rumah kerana keunikannya yang tersendiri. Syabas kepada semua peserta yang telah mengjayakan program ini. Diharap aktiviti seumpama ini akan dianjurkan lagi pada masa akan datang.